Disediakan oleh : Norzainariah Abu Hassan
Pada 9hb Januari 2014, seramai 30 orang pelajar Diploma Kejuruteraan Awam diiringi oleh Cik Norzainariah Binti Abu Hassan dan Puan Erita Mazwin Binti Mazlan telah mengadakan satu lawatan akademik ke Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Kuala Lumpur. Lawatan Sambil Belajar yang diadakan bersempena kursus Kursus CC503 ~ Traffic Engineering dilihat dapat memberi impak terhadap pengetahuan, pendedahan serta motivasi para pelajar dalam bidang pengurusan trafik di Malaysia.
Kumpulan pelajar PMK tiba pada jam 10.00 pagi di Plaza Taman Tun Dr. Ismail. Rombongan telah disambut baik oleh barisan pengurusan MRT Corporation Sdn. Bhd. iaitu En. Amir Mahmood Razak, Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat (Project MRT Lembah Kelang), En. Mohd. Siddek Arif Bin Salleh, Eksekutif Perhubungan Awam dan En. Bahrom Bin Misiran, Pegawai Pengurusan Trafik.
Projek aliran transit massa (MRT) ini dipilih kerana ia merupakan salah satu projek mega yang dilaksanakan di Malaysia bagi menaiktarafkan sistem pengangkutan di Kuala Lumpur. Jarak laluannya adalah lebih kurang 60 kilometer dan 35 stesen akan dibangunkan sepanjang laluan ini. Stesen integrasi akan dibangunkan di lokasi di mana laluan MRT bersilang dengan laluan KTM Komuter, laluan transit aliran ringan atau light rail transit (LRT) Kelana Jaya dan laluan LRT Ampang.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, perlaksanaan projek aliran transit massa (MRT) di Lembah Klang dijangka menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) antara RM3 bilion dan RM4 bilion setiap tahun dari tahun hadapan hingga 2020 di mana, RM8 bilion dan RM12 bilion akan dijana melalui limpahan dari kerja pembinaan dan operasi. Pada masa yang sama projek MRT ini akan menjana 130,000 peluang pekerjaan dalam tempoh masa pembangunannya. (Berita Harian : 27/12/2013)
Rombongan telah diberi penerangan yang jelas mengenai objektif projek tersebut. Pihak PMK juga telah dibawa melawat ke kawasan projek yang sedang berjalan. Penerangan yang jelas juga telah diberikan semasa pembentangan mengenai pengurusan pelan trafik yang dilaksanakan oleh pihak MRT Corporation Sdn. Bhd.
Secara keseluruhannya, para pelajar dan pengiring amat berpuashati dengan input yang diperolehi dan diharap lawatan akademik seumpama ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang. Pihak Politeknik Melaka merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian pihak MRT Corporation Sdn. Bhd. menerima kunjungan ini.
0 Comment for "KURSUS ToT KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN ... - Politeknik Melaka"