KUCHING: Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Penasihat Politeknik Kuching bagi tempoh dua tahun bermula tahun ini.
Senarai penuh ahli jawatankuasa itu ialah Pengarah Politeknik Kuching Clara Ong, yang akan menjadi ahli tetap, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi Perbadanan Inovasi Belia Sarawak (KOBIS) Zaiwin Kassim, Pengurus Kanan Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation Andrew Ronggie, Pengarah Uchimono & Co Masri Juni, CEO dan Ahli Lembaga Juruukur Tanah Dr Lau Chong Chuan, Pengarah Sunway College Sarawak Joseph Lim Jit Sek, Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Sumber Manusia Lotte Chemical Ttitan Johor Teng Hooi Yee dan Ketua Operasi Perkhidmatan dan Rangkaian Wilayah Maxis Broadband Sdn Bhd Kuching Khairul Hakim Mohd Rasid.
Pelantikan mereka berdasarkan kepakaran, profesional dan jawatan dalam organisasi masing-masing yang dipercayai dapat menyumbang kepada pembangunan signifikan institusi berkenaan.
Jawatankuasa Penasihat itu akan membantu institusi berkenaan memastikan pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan dengan lancar, dalam infrastruktur serta kurikulum dalam usaha memenuhi piawaian latihan teknikal negara.
Ia juga berperanan sebagai saluran komunikasi bagi mengekalkan hubungan baik antara institusi, industri dan masyarakat secara keseluruhannya.
Seiring dengan peranan dan fungsinya, jawatankuasa itu dari semasa ke semasa akan membuat pengesoran serta cadangan berhubung aspek bentuk kurikulum dan kursus-kursus baharu diperkenalkan bagi membolehkan Politeknik Kuching menjadi institusi teknikal nombor satu pada masa akan datang.
Jawatankuasa itu juga bertanggungjawab memberi maklum balas kepada institusi itu mengenai situasi pasaran pekerjaan ketika ini dan keperluan supaya pihak pengurusannya dapat melakukan perubahan pada bila-bila masa.
Sebelum mesyuarat pertama bermula, Len Talif dan ahli-ahli lain diberi taklimat mengenai Politeknik Kuching oleh Ong.
Hadir sama pada mesyuarat itu Timbalan Pengarah Politeknik Kuching Mohd Anwar Dris dan Jemien Ental.
0 Comment for "Mind Map Chapter 1 : Basic Algebra (Engineering Mathematics 1 DBM1013) | Math2Ever"