Pada 27 hingga 28 Mei 2014 yang lalu, Unit Hal Ehwal Murid SMK St. George (M) Balik Pulau serta Jawatankuasa Pembinaan Modal Insan SMK St. George (M) Balik Pulau telah menganjurkan satu program yang diberi nama Kem Latihan Kepimpinan Al Mukmin Mutiara Georgian bertempat di Pulau Aman, Pulau Pinang. Program ini merupakan program kerjasama dengan Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang. Peserta yang terlibat dalam program ini adalah seramai 38 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 dan 5. 10 orang guru juga turut serta sebagai guru pengiring.
Hari Pertama : 27 Mei 2014 (Selasa)
Kira-kira jam 7.30 pagi, semua peserta kem bertolak dari SMK St. George (M) menuju ke Pulau Aman dengan menaiki bas. Para peserta dan guru pengiring berkumpul di Dewan Orang Ramai Pulau Aman. Satu taklimat tentang perjalanan program telah diberikan oleh Tn. Hj. Mohd Noor b. Abdul Rahim, Ketua Jurulatih dari MNPA Adventure Team Pulau Aman. Selesai taklimat, fasilitator dari MNPA Adventure Team membahagikan peserta kepada 4 kumpulan dan aktiviti 'ice breaking' dijalankan.
Antara aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut ialah :
a) Aktiviti 1 : Ikhtiar Hidup (Memasak di Dalam Hutan)
Setiap kumpulan dibekalkan dengan bahan mentah dan beberapa peralatan memasak dan diminta memasak bahan tersebut menggunakan kaedah dapur kayu. Kerjasama dalam kumpulan dan kebijaksaan menggunakan benda-benda di sekeliling mereka membolehkan misi mereka berjaya. Aktiviti ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para peserta cara untuk memasak apabila berada di dalam hutan.
Para peserta dihidangkan dengan makan tengah hari dan diberi masa untuk solat dan mengurus diri. Semua peserta ditempatkan di Asrama SK Pulau Aman.
b) Aktiviti 2 : Cara Solat Dalam Hutan
Para peserta diberi pendedahan dan diajar bagaimana mengerjakan solat ketika berada di dalam hutan. Slot ini amat penting untuk memberi kesedaran kepada para peserta walau di mana juga kita berada tanggungjawab kepada Allah s.w.t tidak dilupakan.
c) Aktiviti 3 : Explorace
Setiap kumpulan diberi tugasan yang perlu disempurnakan sepanjang misi Explorace. Kebanyakkan tugasan bertujuan untuk membolehkan para peserta mengenali tentang kehidupan dan alam semulajadi.
Setelah selesai solat dan minum petang, para peserta dibawa untuk beriadah. Riadah merupakan salah satu aktiviti yang dapat menyihatkan tubuh badan dan mencergaskan minda. Selepas beriadah, para peserta dibenarkan untuk berehat dan mengurus diri serta mengerjakan solat. Aktiviti seterusnya bermula pada sebelah malam iaitu selepas solat Isyak.
d) Aktiviti 4 : Slot Motivasi dan 'Team Building'
Aktiviti pada hari pertama melabuhkan tirainya kira-kira jam 11.30 malam. Para peserta dibenarkan untuk merehatkan diri setelah seharian menjalankan pelbagai aktiviti.
Hari Kedua : 28 Mei 2014 (Rabu)
Aktiviti pada hari kedua bermula dengan kuliah subuh yang telah disampaikan oleh Ustaz Syukur dari Politeknik Balik Pulau. Selepas itu, para peserta mengambil sarapan pagi dan bersedia untuk aktiviti yang seterusnya.
a) Aktiviti 5 : Ceramah Motivasi dan Promosi
Slot ceramah dan promosi ini telah diberikan oleh tenaga pengajar dari Politeknik Balik Pulau yang diketuai oleh Ustaz Syukur. Antara intipati ceramah ialah memotivasikan para peserta untuk belajar dan menyambung pengajian ke IPT. Beliau turut memaklumkan tentang syarat-syarat kemasukan ke IPT. Selain itu, beliau turut mempromosikan Politeknik Balik Pulau sebagai salah satu pilihan pelajar untuk melanjutkan pelajaran.
b) Aktiviti 6 : Ceramah Motivasi
Ceramah motivasi ini telah disampaikan oleh Tn. Hj. Hassan dari SK Pokok Sena. Beliau merupakan penceramah yang dijemput oleh MNPA Adventures Team bagi mengisi slot motivasi kepada para peserta.
Majlis Penutup
Tn. Hj. Mohd Noor b. Abdul Rahim yang merupakan Ketua Jurulatih dari MNPA Adventure Team telah membuat rumusan tentang program yang telah berjalan selama 2 hari ini. Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Politeknik Balik Pulau, Dr. Hj. Mohd. Zahari bin Ismail. Antara initipati ucapan beliau ialah mengharapkan agar semua peserta mendapat manfaat daripada program yang telah dijalankan ini. Beliau turut menyampaikan cenderahati, sijil dan hadiah kepada para penceramah dan sesi bertukar-tukar hadiah di antara guru pengiring, pihak Politeknik Balik Pulau dan MNPA Adventures Team.
Rumusan
Program ini tamat kira-kira jam 4.00 petang. Para peserta dan guru pengiring bertolak pulang ke SMK St. George (M). Tuntasnya, program yang dirancang berjalan lancar dan mencapai matlamatnya. Diharapkan para peserta mendapat manfaat daripada program yang dijalankan serta mencapai kejayaan cemerlang bukan sahaja di dalam peperiksaan malahan dalam kehidupan mereka. Kejayaan program ini adalah atas kerjasama semua guru yang bertugas serta kerjasama daripada para peserta itu sendiri.
Sekalung Penghargaan
Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini terutamanya pihak Politeknik Balik Pulau, Y.B. Dato' Seri Dr. Hilmi Bin Yahaya (Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Balik Pulau), PERDA (PDCA), Pn. Siti Nor Hanim bt. Hj. Omar, Masjid Qaryah Bagan Air Itam (Jalan Bahru), Masjid Qaryah Sungai Rusa dan Pusat Urus Zakat Pulau Pinang. Tidak lupa kepada MNPA Adventures Team, guru-guru pengiring, penduduk Pulau Aman serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.
Kuning emas masaknya padi
Mawar merah dalam jambangan
Terima kasih sekalung budi
Budi tuan jadi kenangan
Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali
0 Comment for "SMK ST GEORGE, 11000 BALIK PULAU, PULAU PINANG: Kem ... - Politeknik Balik Pulau"