Atlet Politeknik Merlimau rangkul pingat emas taekwando - Politeknik Malaysia

Atlet <b>Politeknik</b> Merlimau rangkul pingat emas taekwando - Politeknik Malaysia


Atlet <b>Politeknik</b> Merlimau rangkul pingat emas taekwando

Posted: 12 Aug 2014 11:20 AM PDT

MOHD. Akmal Omar Sidek (berdiri, empat dari kiri) bersama pasukan Masum Politeknik Malaysia yang menyertai Kejohanan Taekwando Antarabangsa C.K Klasik ke-8 di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

JASIN 12 Ogos - Atlet taekwando Politeknik Merlimau (PMM), Mohd. Akmal Omar Sidek berjaya merangkul pingat emas dalam Kejohanan Taekwando Antarabangsa C.K Klasik ke-8 di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Emas itu diraih menerusi acara Kyorugi (Sparring) 18 tahun ke atas dalam kategori welter (74-80kg) selepas menewaskan peserta tuan rumah atlet dari Kelab Taekwando CK Karan pada perlawanan akhir.

Kejohanan selama tiga hari itu mendapat penyertaan daripada sembilan buah negara antaranya Australia, Uzbekistan, Sri Lanka, Hong Kong, Afghanistan, Singapura, Thailand, Libya dan Indonesia serta Malaysia.

Pada pertandingan itu juga, Masum Politeknik turut mencipta kemenangan apabila pasukan wanitanya memperolehi tempat kedua terbaik keseluruhan bagi kategori 18 tahun ke atas.

Jurulatihnya, Zid Abrar Akbar berkata, pencapaian Mohd. Akmal itu adalah disebabkan kesungguhan anak buahnya dalam menjalani latihan berjadual yang disediakan bersama atlet Politeknik Malaysia yang lain.

"Dengan sokongan padu diberikan oleh Jabatan Pengajian Politeknik ke arah pembangunan sukan taekwondo ini kita lihat, ia mampu menyinarkan peluang Akmal untuk pergi lagi jauh," katanya.

Sementara itu, Mohd. Akmal berkata, kejayaan itu menjadi suntikan semangat untuk meningkatkan prestasi dan meneruskan latihan bagi merebut tempat mewakili negara pada kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) 2014 di Palembang, Indonesia nanti.

Katanya, yang terpilih menjalani sesi latihan dan pemilihan ke AUG 2014 itu selepas memenangi pingat gangsa ketika kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014 yang lalu.

"Alhamdulillah dengan kemenangan ini dan saya ingin terus berlatih ke arah mencapai matlamat seterusnya iaitu mewakili Malaysia dalam kejohanan AUG 2014 hujung tahun ini.

"Insya-Allah sekiranya diberi peluang itu, saya akan berusaha untuk membawa pulang pingat Emas dalam kejohanan AUG 2014 untuk mengharumkan nama negara," katanya.

0 Comment for "Atlet Politeknik Merlimau rangkul pingat emas taekwando - Politeknik Malaysia"