Generasi muda harus diperkasa dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal: KM
MUKAH: Generasi muda negeri ini harus diperlengkapkan dan dberi penekanan serius dengan kemahiran teknikal dalam usaha memacu perindustrian melalui pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, sejajar dengan usaha kerajaan negeri menubuhkan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) iaitu inisiatif memperkasa anak-anak Bumiputera dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal.
"TEGAS menyasarkan 90 peratus jumlah penyertaan anak-anak tempatan dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional menjelang tahun 2020.
"Sehubungan itu, pelbagai program dijalankan termasuk TEGAS bersama Sekolah, Komuniti, Belia dan sebagainya bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda dan ibu bapa mengenai pendidikan teknikal," katanya dalam teks ucapan dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang
sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Mukah Kelapan di sini semalam.
Adenan menegaskan, masyarakat harus mengubah persepsi mereka mengenai pendidikan teknikal kerana kolar biru juga mampu memberi pendapatan lumayan.
"Peningkatan produktiviti dan daya saing di negara ini memerlukan tenaga kerja kreatif, berdisiplin, berinovasi, berintegriti, mahir dan berpengetahuan.
"Justeru itu, kita mahu graduan berusaha mempelbagaikan kemahiran seperti meningkatkan kemahiran komunikasi, ICT dan sebagainya agar dapat membantu mereka dalam dunia pekerjaan," ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Mukah Lt Kolonel Bersekutu (PA) Abdubranu Yunus berkata keseluruhan graduan terdiri lulusan Diploma menamatkan pengajian pada sesi Disember 2013 dan Jun 2014.
Mereka terdiri lulusan bidang Kejuruteraan Awam, Elektrik, Mekanikal, Perdagangan dan Teknologi Komunikasi dan Maklumat.
Katanya, pada sesi pendaftaran Ambilan Jun 2015 lalu, Politeknik Mukah melakar sejarah baharu dengan peningkatan jumlah pelajar baharu yang mendaftar lebih 800 orang.
"Ini membuktikan usaha mempromosikan Politeknik Mukah kepada umum serta peningkatan kesedaran dan keyakinan pelajar kepada sistem pengajian Politeknik selain diiktiraf setaraf dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam lain di Malaysia.
"Bagi meningkatkan kebolehpasaran siswazah dan menjana modal insan berinovatif memenuhu keperluan industri, Politeknik Mukah menjalinkan lebih lapan hubungan kolabrasi atau jaringan kerjasama dengan beberapa syarikat swasta atau industri selain institusi pengajian tinggi swasta di Sarawak dan Indonesia," katanya.
Antaranya Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), HERE Malaysia Sdn Bhd, Bank Rakyat Cawangan Mukah, Press Metal Sarawak, Curtin Universiti Miri, Universiti College Of Technology Sarawak, Sunway College, Kuching dan Politeknik Negeri Pontianak, Indonesia (POLNEP).
"Program Kolaborasi itu merupakan peluang mendapatkan ilmu dan kepakaran daripada syarikat-syarikat swasta atau industri dan institusi pengajian tinggi bagi meningkatkan prestasi dan penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris, peluang pekerjaan dan melaksanakan kursus kemahiran jangka pendek serta pembangunan kerjaya pelajar Politeknik Mukah," katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik Shabudin Man, Timbalan Pengarah Akademik Politeknik Mukah Ahmad Masduki Selamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Yussibnosh Balo dan wakil Residen Bahagian Mukah, Muhammad Amirul Abdullah.
0 Comment for "Mukah Polytechnic (Politeknik Mukah) | Sarawak Convention Bureau - Politeknik Mukah Sarawak"