18 Disember 2013
SEREMBAN – Seorang pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit kemalangan di Kilometer 265.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, mangsa, Rozaini Nordin, 18, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru secara sendirian, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan dalaman di dada.
Jurucakap polis berkata, mangsa yang berasal dari Jerantut, Pahang, dalam perjalanan dari Pasir Gudang, Johor ke arah utara.
"Bagaimanapun, sampai di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai telah hilang kawalan sebelum merempuh besi pembahagi jalan sebelah kiri.
"Mangsa yang terbabas sendiri kemudiannya terjatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan dalaman di dada. Mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian," katanya di sini, semalam.
Tambahnya, daripada hasil siasatan awal, kemalangan berkenaan tidak melibatkan kenderaan lain.
"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga," katanya.
Sementara itu, pegawai turus trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan punca kemalangan masih disiasat.
0 Comment for "Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan maut kemalangan | DMBC | Dr ... - Politeknik Ibrahim Sultan"